Ternyata setelah lama sepi tanpa berita, tergerak rasa hati untuk kembali membiarkan jari-jemari menari dalam gerak rasa menuturkan kata yang tiada terungkap dengan kata. Moga kalian semua sentiasa berada dalam redha-Nya.
Selesai kalam pembuka bicara.
Ayuh maju ke perkara seterusnya. Pesanan buat aku dan kamu serta kamu.
maksud gambar: Jadikan diri kamu bersama Allah, maka Allah akan bersama kamu. |
Terketuk rasa hati kala membaca kalam ini. Sering saja kita mendoakan supaya Allah bersama kita walhal pada hakikatnya, Allah sentiasa saja ada tetap di situ menanti kita kembali pada-Nya. Tidak bergerak, tetap menanti. Tetapi kita sering saja menjauhkan diri daripada-Nya. Terlalai, dan terus mengikut arus perubahan zaman fitnah dan akhir zaman tanpa punya pasak iman kukuh. Bagaimana mungkin iman yang tiada tetap itu mahu berpasak dalam dada andai tiada ditambah nilai tatkala perlu? Adapun jauh tersasar - Allah itu sentiasa ada, tunggu kita saja menuju-Nya.
Berbicara perihal zaman fitnah, sering saja diungkap istilah hebat ini - namun, tidak ramai yang mengerti maksudnya. Baru saja terjumpa makna istilah ini, tidak lama dulu. Zaman fitnah itu merupakan suatu zaman yang tidak dapat dikenal pasti kebenaran yang sebenar-benarnya kerana berlaku penyelewengan dalam segala fakta yang ada. Zaman fitnah ini bermula semenjak kewafatan Saidina Uthman - dirakamkan dalam sejarah Islam bahawa selepas kewafatan beliau lah bermulanya segala kecelaruan dan perpecahan. Segala yang penting dalam menelusuri zaman ini adalah dengan beramal dan bergerak dengan segala yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
Segala yang berlaku, bukanlah suatu kebetulan - tapi bermula dengan suatu pilihan. Pilihan yang menentukan segala pengakhiran. (al-Balad, 10) Pilihan kepada bisikan menyesatkan sehingga wahyu disisihkan ataupun pilihan kepada seruan Tuhan, kembali ke pangkal jalan - fitrah penciptaan insan. Fitrah itu hakikatnya hanya ada dua semata-mata iaitu hamba dan khalifah - tapi mengapa saja susah dilaksanakan? Sedangkan Habibuna Rasullullah S.A.W insan konfem syurga itu pun melalui onak duri liku perjuangan kerana mahu membuktikan kehambaannya pada Allah dan melaksanakan tugasnya sebagai khalifah memakmurkan bumi Allah dan mendidik lagi mentarbiyah insan agar tetap pada kebenaran, layakkah kita yang bersenang-lenang lagi jauh dari Islam ini nak claim syurga? Irhamna Ya Allah.
Teruslah bergerak. Teruslah mencari hikmah. Teruslah mengenal Tuhan. Teruslah! Ayuh, sama-sama memilih untuk menuju Tuhan, berteraskan kebenaran al-Quran dan as-Sunnah. Bukankah selangkah kita kepada-Nya, berlari Dia menuju kita?
Persoalannya, langkah kita ke mana?